Rajinnya...

Thursday 26 June 2014

Ramadhan.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa” 
(Al -Baqarah:183)

Bulan Syabaan sudah hampir melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Maka, bermulalah satu bulan yang mana di dalamnya mempunyai pelbagai kurniaan daripadaNya. Di awalnya rahmat, di tengahnya keampunan, dan di akhirnya perlindungan daripada neraka Jahannam. 

Dan padanya juga terdapat satu malam yang bersamaan denga seribu bulan. Beruntung sekali bagi sesiapa yang dapat berjumpa dengan malam ini. Marilah kita sama-sama mencarinya. Firman Allah s.w.t ;
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) 

Dengan kedatangan Ramadhan, kita dapat lihat pelbagai ragam masyarakat Malaysia tanpa mengira peringkat siapa. Antaranya ialah;

Yang pertama kali berpuasa.

Ada sesetengah daripada mereka yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Tetapi, kebanyakan mereka berpuasa kerana duit raya yang dimanifestasikan oleh ibu bapa mereka.

Orang muda,

Pelajar, yang duitnya tidak berapa nak ada sudah mula mencari-cari masjid untuk mereka sertai majlis berbuka puasa. Tidak ketinggalan juga yang mencari lubang-lubang plastik hitam untuk mereka beriftar di tengahari.

Kaum ibu bapa,

Si ibu sudah mula memikirkan menu juadah sahur dan berbuka untuk keluarga. Si bapa sibuk mengira duit untuk menempah baju raya anak dan isteri. Tak termasuk duit raya yang dijanjikannya untuk anak-anak jika mereka berjaya puasa penuh.

Taukeh kueh,

Sibuk membuat kueh yang ditempah oleh pelanggan mereka pada bulan Rejab yang lalu. Anda jangan tak tahu, sample kueh keluar pada awal bulan Rejab, tarikh tutup tempahan nisfu syabaan, pertengahan malam tujuh likur penghantaran. Inilah dia modus operandi taukeh kueh setiap tahun.

Taukeh baju,

"Tempahan sudah ditutup," jawabnya pendek.

Dan bermacam-macam lagi karenah-karenah masyarakat Malaysia dalam menyambut bulan Ramadhan dan bulan Syawaal. Tak termasuk lagi yang membeli-belah pada saat-saat terakhir.
Selamat menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam. Gunakan peluang yang ada pada bulan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Zakat bayar awal. Jangan pagi raya baru nak terhegeh-hegeh mencari aamil zakat. Dia pun nak beraya juga. Kalau tidak sempat, cukup malanglah jawabnya.








Wednesday 25 June 2014

Cukup panas.

Dalam kehangatan pagi aku memerhati banyak benar orang lalu lalang, ke sana ke mari. Masing-masing dengan tujuan dan destinasi masing-masing. Sekali-sekala aku pandang ke langit. Hangat betul pagi ini. Mungkin inilah dia penangan el nino yang digembar-gemburkan oleh media negara ini.

Bukan aku seorang sahaja yang merasai kehangatan ini. Bahkan semua orang turut menerima nasib yang sama. Setiap orang yang lalu-lalang di depan aku semuanya mengeluh dek kerana perkara yang sama. Tetapi, dalam keluhan-keluhan itu ada juga yang bersyukur dengan cuaca sebegini. Terutamanya, pemilik-pemilik kedai dobi di bandar metropolitan ini.

Dalam bahang kepanasan yang panas ini, ada juga manusia yang memakai baju kemeja bertali leher. Siap berkot lagi. Aku pelik kenapa mereka mengenakan pemakaian yang tidak kena dengan keadaan. Pakaian sebegitu kalau dipakai di negara Barat moleklah nampaknya. Tetapi, jika dipakai di negara yang beriklim khatulistiwa tidak relevan bagi aku. Macam orang gila. Aku pun naik panas apabila melihat pakaian mereka.

Mereka mengaku mereka bijak. Mereka pandai, mereka ada ijazah, mereka ada bermacam-macam kelulusan. Tetapi, pakaian macam orang tak ada akal.

Pihak yang tertentu mesti memainkan peranan. Tukar etika pemakaian berkot dan bertali leher kepada pemakaian yang lebih selesa. Bila selesa, hasil kerja akan jadi lebih baik. 

Sudah-sudahlah menghukum seseorang dengan pakaian, dengan luaran. Sedangkan yang mustahak adalah dalaman. Bodoh tak sudah mereka ini. Cukup malang.




Friday 20 June 2014

Liga Padang Rengas.

Kisah ini sudah lama berlaku. Ketika itu, aku pun masih di awang-awangan. Mak dengan hal mak, abah pula dengan hal abah. Mereka masih tidak kenal antara satu sama lain. Dan pada ketika itulah kisah ini berlaku. Kisah kegemilangan Liga Bola Sepak Padang Rengas. Bukanlah aku yang menjadi saksi kisah ini. Tetapi, kisah ini diceritakan oleh abah aku pada suatu petang tak lama dulu.

Bapak aku cakap, Liga Padang Rengas dulu rancak. Semua pasukan mempunyai gaya permainan tersendiri. Setiap pasukan juga mempunyai ayam tambatan masing-masing. Pasukan Sekolah Arab, mereka ada Jalud. Seorang pemain sayap yang baik. Di Kampung Lubuk, mereka ada Said. Pemain tengah yang berkaliber dengan larian yang tenang seakan-akan Andrea Pirlo. Estate Batu 17, mereka ada Maniam. Lariannya macam lipas kudung dan lain-lain pemain handalan dari kampung masing-masing sekitar Padang Rengas dan Lubuk Merbau.

Apabila liga Kuala Kangsar diadakan, pemain-pemain ini akan dikumpulkan menjadi satu pasukan mewakili Padang Rengas. Antara seterunya ialah pasukan Sayong, Pasukan daripada Chandan, Talang, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri dan lain-lain. Masing-masing membawa pemain handalan mereka untuk bertarung di atas padang.

Bila aku dengar cerita yang epik ini daripada abah, memang wajarlah bola sepak Malaysia dahulu lebih hebat dari sekarang. Kalaulah pemain-pemain kampung di seluruh pelosok Malaysia ini diketengahkan, liga-liga di Malaysia ditambah dan dibuka untuk setiap peringkat. Daripada amatur hinggalah ke peringkat professional. Aku rasa, banyak bakat-bakat yang baharu dapat FAM hasilkan.

Seyugia, segala perancangan ini tidak dilaksanakan. Apa boleh buat? Cukup malang.

Thursday 19 June 2014

Malaysiaku...

Aku sudah bosan bersorak untuk negara orang.
 Negara yang terletak nun jauh seberang laut. 
Aku sudah bosan mengibarkan bendera negara orang. 
Aku berasa jijik melihat pengacara-pengacara sukan hanya membincangkan tentang kesebelasan utama negara orang. 
Aku sudah letih bersengkang mata hanya untuk menonton corak permainan negara orang yang semakin cantik dan bergaya.
Aku benci melihat rakyat Melaysia yang bangga menyarung jersi negara-negara luar.
Sedangkan hendak bertutur dalam bahasa negara itu pun entah pandai entah tidak.

Aku tak pasti,
terbit atau tidak perasaan ini dalam hati pemain-pemain Malaysia. 
Hati orang-orang kuat FAM,
hati presiden FAM.
Aku tak tahu. 
Entah apa yang mereka fikirkan. 

Di mulut hanya mampu berjanji,
kami akan lakukan yang terbaik. 
Tetapi, di kaki main macam babi. 
Lepas ini, selepas baca luahan ini. 
Pasti ada yang bersuara, 
kamulah main, macamlah hebat sangat. Satu alasan yang sudah lapuk. 
Abah aku pun boleh cakap. 
Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab memikirkan sesuatu. Bukan menuding tidak menentu. 
Bola sepak Malaysia masih di takuk lama. 

Perubahan secara drastik tidak dilakukan. 
Pembangunan pemain dari akar umbi entah ke mana.
Setakat program mencari Ramli,
apa kesinambungannya?
Mutu pengadilan yang tidak bermutu,
Mengadili perlawanan macam kutu,
Politik dan bola jangan sekali,
Kalau tidak, apa pun tak jadi.

Kritikan rakyat bukan untuk mengeruhkan keadaan,
Kritik rakyat untuk kebaikan,
Dengarlah suara rakyat,
Bukan banyak yang rakyat mahu,
Kami mahu kejayaan,
Kalau berjaya kami tak dapat apa-apa,
Tuan-tuan juga yang bertambah kaya.

Kami mahu Malaysia ke Piala Dunia,
Kami mahu Malaysia menang Piala Dunia,
Kami mahu Malaysia dikenali dunia,
Kami mahu gaya permainan Harimau Malaya bertaraf dunia,

Tetapi aku tahu,
Tiada siapa yang dengar luahan ini,
Tiada siapa yang cakna dengan usaha ini,
Usaha-usaha rakyat Malaysia yang sebelum ini pun tak diambil endah oleh mereka,
Inikan pula luahan aku yang sakai ini.

Angan-angan aku hanya angan-angan yang tak realistik,
Umpama menunggu bulan jatuh ke riba.
Apa boleh buat?

Cukup malang.






Sunday 15 June 2014

#welkap

Kempen Piala Dunia banyak memberikan kejutan kepada kita. Pada tahun ini, Pasukan Costa Rica telah mencipta  kejutan yang besar dalam sejarah Piala Dunia apabila mereka berjaya menundukkan pasukan pilihan Uruguay 3-1 pada pagi tadi. 

Uruguay bermula tanpa pemain bintangnya iaitu Luis Suarez. Beliau hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang perlawanan kerana kecederaan. Uruguay meletakkan dua penyerang mereka iaitu Diego Forlan dan Edinson Cavani.

Sementara itu, Costa Rica telah menempatkan lima pemain pertahanan dan satu penyerang iaitu Joel Campbell. Pemain muda ini bermain dengan baik sekali dalam permulaan kempen Piala Dunia 2014.

Pada separuh masa yang pertama, Uruguay telah dianugerahkan sepakan penalti apabila Diego Lugano dijatuhkan oleh Junior Diaz. Edinson Cavani telah menyempurkan sepakan penalti dengan tendangan lerek ke kiri gawang pihak lawan pada minit ke 24.

Pada separuh masa yang kedua, jaringan daripada Joel Campbell pada minit ke 54 hasil umpanan Gamboa telah menyamakan kedudukan. Oscar Duarte pula menanduk bola masuk ke gawang pada minit ke 57 dan jaringan Marcos Urena pada minit ke 84 telah memastikan tiga mata penuh menjadi milik Costa Rica  dan menempatkan mereka di puncak kumpulan D.

Pada minit ke-94, pemain pertahanan Uruguay, Maxi Pereira telah dilayangkan kad merah disebabkan kekasaran yang dilakukan olehnya keatas Joel Campbell. Perlawanan tamat. Uruguay kalah, Costa Rica menang. 1-3. Cukup malang.

Saturday 14 June 2014

Satu permulaan yang bertenaga.

Dengan tangannya yang kering, berurat, hitam, dan dengan mimik muka yang bengis dan angkuh dia mencapai kotak yang tertera perkataan John di atas meja. Buka kotak tarik sebatang batang putih. Tutup kotak, campak atas meja. 

Tangan kiri ligat menggagau kocek seluar. Keluar pula kotak kecil. Kecil lagi dari kotak John. Buka kotak tarik sebatang kayu yang kecil. Digeseknya batang itu di sisi kotak tadi. Zasss! Api menyala. Dicucuh api itu di hujung batang putih tadi. Kibas-kibas kayu kecil. Api padam. Batang putih sudah menyala. Sedut batang putih dalam sedalamnya. Api dibibir batang putih makin membara. Bara meninggalkan abu. Diketiknya batang putih itu, bertebaran abu atas lantai. Disedut lagi, hembus. Keluar asap berbunga-bunga. Sekali-sekala dia meneguk kopi ais yang dipesannya tadi.

Dalam ketenangan kedai kopi itu, tiba-tiba dia bersuara,
 " Man," katanya sambil matanya memandang aku, tajam menusuk jantungku. 

"Awat?"  tanyaku pendek.

"Dah tiba masanya untuk kita berubah,"

"Berubah apa bendanya? Tak payah mengarut,"

"Sampai bila kita nak jadi macam ni? Stagan macam air taik,"

Dengan patuhnya aku menganguk setuju. 
"Apa cadangan kau?" tanya aku.

"Kita buatlah sesuatu. Sesuatu yang bermanfaat," jawabnya sambil memandang Ah Moi yang lalu lalang di kaki lima.

"Umum sangat tu, spesifiklah sikit,"

"Kita masuk bidang seni,"
"Seni macam mana tu? Spesifikkan lagi."

"Menulis. Kita menulis."

"Huish! Banyak pakai duit tu. Nak cetak lagi, macam-macam kene buat," jawabku protes. Zaman sekarang semuanya perlukan duit. Hatta nak ke jamban pun dicaj dua puluh sen.

"Baru nak mula takkan terus nak keluar buku. Banyak lagi medium lain. Kita mula perlahan-lahan. Mula dari kosong." 

"Contohnya apa?"

Sambil membetulkan duduknya dia menjawab, "Kita buat blog. Benda percuma. Mudah pun mudah,"

"Ada ke orang nak baca?" tanyaku skeptikal.

"Baca ke, tak baca ke, belakang kira. Yang penting cuba."

"Okeh, aku setuju. Tapi nak letak nama apa?" 

Sambil menenyeh-nenyeh puntung rokok ke dasar bekas abu dia menjawab,"Entahlah, sama-samalah kita fikir." 

*     *     *

Sebulan kemudian, mereka masih di kedai kopi. Sembang semangat seperti Bung Tomo. Tetapi, praktikalnya tiada. Tenggelam dengan cerita-cerita cliche orang kampung. Cukup malang.